Showing posts with label kerja haji. Show all posts
Showing posts with label kerja haji. Show all posts

Thursday

Wahyu Pertama Kepada Rasulullah SAW


Permulaan Wahyu
Saidatina Aisyah r.a berkata: "Wahyu Pertama yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w bermula dengan mimpi yang baik di dalam tidurnya, Baginda s.a.w.melihat (sesuatu) di dalam mimpinya seperti cahaya fajar sebelum terbit matahari dan setelah itu Baginda s.a.w.. suka mengasingkan diri. Baginda s.a.w.mengasingkan diri dan beribadat di Gua Hira' selama beberapa malam sebelum pulang kepada keluarganya untuk mengambil bekalan. Apabila bekalan habis,Baginda s.a.w. pulang menemui Khadijah untuk mengambilnya lagi, sehinggalah malaikat datang ketika Baginda s.a.w. berada di Gua Hira' tersebut lalu berkata: "Bacalah". Baginda s.a.w. menjawab: "Aku tidak tahu membaca?" Kata Baginda s.a.w. lagi: "Malaikat memelukku sehingga aku terasa susah untuk bernafas, kemudian melepaskan aku lalu berkata: "Bacalah." Aku menjawab: "Aku tidak tahu membaca?" Malaikat memelukku buat kali yang kedua sehingga aku terasa susah untuk bernafas, kemudian melepaskan aku lalu berkata: "Bacalah." Aku menjawab: "Aku tidak tahu membaca?" Dia memelukku buat kali yang ketiga kemudian melepaskanku lalu berkata:
Yang bermaksud: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari seketul darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pen dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya).
Rasulullah s.a.w pulang dengan hati yang gementar, lalu terus masuk menemui Khadijah binti Khuwailid (isteri Baginda s.a.w) dengan berkata: "Selimutkan aku, selimutkan aku." Khadijah terus menyelimutinya sehingga hilang perasaan gementar. Baginda s.a.w. menceritakan kepada Khadijah peristiwa yang berlaku dengan katanya: "Sesungguhnya aku merasa takut terhadap apa yang menimpa diriku." Khadijah berkata: "Tidak sama sekali. Demi Allah! Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan menyusahkanmu selama-lamanya, kerana kamu telah menghubungkan silaturahim, menolong orang ramai, memberi belanja kepada orang yang harta, memuliakan tetamu dan menyebelahi orang yang benar." Setelah itu Khadijah membawa Rasulullah s.a.w menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, sepupu Khadijah yang beragama Nasrani pada masa jahiliah. Beliau menulis kitab ke dalam bahasa Ibrani dan telah menterjemahkan kitab Injil ke dalam bahasa Ibrani. Beliau seorang yang telah tua lagi buta. Khadijah berkata kepadanya: "Wahai sepupuku! Dengarlah apa yang akan diperkatakan oleh anak saudara kamu ini (Rasulullah s.a.w). Lalu Waraqah berkata kepada Baginda s.a.w.: "Wahai anak saudaraku! Apakah yang telah kamu lihat." Rasulullah s.a.w menceritakan peristiwa yang telah berlaku ke atas diri Baginda s.a.w.. Waraqah berkata kepada Baginda s.a.w.: "Itulah Malaikat yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Musa, mudah-mudahan aku masih hidup ketika kamu berada dalam keadaan sedih kerana dihalau oleh kaum kamu" Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya: "Apakah mereka akan menghalau aku?" Beliau menjawab: "Ya. Setiap lelaki yang didatangkannya (Wahyu) akan dimusuhi, sekiranya aku mampu untuk menolong kamu pada hari itu nescaya aku akan menolong kamu secara bersungguh-sungguh." Tetapi Waraqah bin Naufal tidak sempat bersama kerana beliau meninggal dunia ketika Wahyu diberhentikan buat sementara waktu.

Tentera Bergajah - Ababil


Kisah Tentera Bergajah
Abrahah telah membina sebuah gereja di San'a (yang dinamakan al-Qalis) dimana pada masa tersebut tidak terdapat gereja seumpamanya. Abrahah telah menulis surat kepada raja Najasyi yang berbunyi: "Sesungguhnya aku telah membina untuk kamu sebuah gereja yang tidak pernah dibina seumpamanya kepada mana-mana raja sebelum kamu. Aku tidak akan tenang sehinggalah orang-orang Arab datang mengerjakan Haji di sini."
Apabila orang-orang Arab memperkatakan tentang surat Abrahah kepada raja Najasyi, perkara ini menimbulkan kemarahan seorang lelaki dari Kinanah lalu pergi ke al-Qalis dan membuang najis di dalamnya secara sembunyi, kemudian kembali kepada kaum keluarganya. Perkara itu telah disampaikan kepada Abrahah dan telah menimbulkan kemarahannya lalu bersumpah untuk menghancurkan Kaabah. Beliau memerintahkan tentera Habsyah untuk bersiap sedia dan setelah bersedia, Abrahah serta tenteranya terus keluar dengan membawa gajah. Apabila orang-orang Arab mengetahui hasrat Abrahah untuh menghancurkan Kaabah, mereka merasa gerun dan takut. Abrahah mengutus seorang lelaki Habsyah yang bernama Al-Aswad bin Mafsud bersama tentera berkudanya sehingga sampai di Mekah, lalu meminta tebusan daripada kaum Quraisy dan yang lainnya, di antaranya dua ratus ekor unta kepunyaan Abdul Muttalib bin Hasyim (ketua kaum Quraisy pada masa tersebut). Kaum Quraisy, kaum Kinanah, kaum Huzail dan kaum yang tinggal berhampiran dengan Tanah Haram telah berazam untuk memeranginya tetapi setelah menyedari mereka tidak mempunyai kekuatan, mereka membiarkan perkara tersebut begitu saja.
Abrahah juga telah mengutus Hannatah Al-Himyari ke Mekah sambil berpesan kepadanya: "Tanyalah ketua atau pembesar negeri ini, kemudian katakan kepadanya, raja telah berpesan kepadaku bahawa, aku datang bukan untuk memerangi kamu tetapi untuk menghancurkan Kaabah ini, sekiranya mereka tidak menghalangi kami, maka aku tidak akan memerangi kamu, sekiranya dia tidak mahu memerangi aku, bawalah dia kepadaku."
Apabila Hannatah memasuki Mekah, beliau bertanyakan tentang ketua atau pembesar negeri tersebut. Dia telah diberitahu bahawa ketua negeri tersebut ialah Abdul Muttalib bin Hasyim, dia terus menemuinya dan memberitahu apa yang diperintahkan oleh Abrahah. Abdul Muttalib berkata kepadanya: "Demi Allah! Sesungguhnya kami tidak mahu memeranginya, kami tidak mampu untuk melawannya. Ini adalah Baitullah al-Haram dan Baitu Ibrahim Al-Khalil a.s (atau sebagaimana yang diriwayatkan). Sekiranya Dia menghalangnya maka ini adalah rumahNya sekiranya Dia (Allah s.w.t.) membiarkannya, Demi Allah, kami tidak berkuasa mempertahankannya."
Lalu Hannatah berkata kepadanya: "Marilah bersama aku untuk mengadap Abrahah, kerana beliau telah memerintahkan aku untuk membawa kamu kepadanya." Hannatah berangkat bersama Abdul Muttalib dan pengikutnya, apabila sampai di kawasan yang bernama al-Askar, beliau bertanya tentang Zu Nafar iaitu sahabatnya. Apabila masuk menemuinya di dalam penjara, Hannatah bertanya: "Wahai Zu Nafar! Apakah kamu mempunyai suatu perantaraan atau penyelesaian yang dapat menolong kami?" Zu Nafar menjawab: "Apakah ada perantaraan atau penyelesaian daripada seorang lelaki tahanan raja yang menunggu hukuman mati samada siang hari atau malam hari seperti aku ini? Aku tidak mempunyai perantaraan atau penyelesaian untuk menolong apa yang telah berlaku kepada kamu kecuali sahabatku Anis, seorang pengembala gajah. Aku akan mengutusinya dengan memberi pesanan tentang diri kamu dan juga kelebihan yang ada pada kamu. Aku juga akan meminta kepadanya agar meminta keizinan untuk kamu daripada raja supaya kamu dapat mengadap dan berbicara dengan raja tentang apa yang berlaku kapada kamu. Dia akan menjadi perantaraan yang baik dengan raja, sekiranya dia mampu melakukan sedemikian, katakanlah cukuplah bagiku." Setelah itu Zu Nafar mengutusi Anis dengan katanya: "Abdul Muttalib adalah ketua kaum Quraisy dan pembesar Mekah, dialah yang memberi makan kepada orang ramai pada semua peringkat sama ada yang tinggal di kawasan wadi atau kawasan perkampungan badwi di bukit-bukit. Sesungguhnya raja telah mengambil dua ratus ekor unta miliknya, oleh itu mintalah keizinan dan manfaat untuknya daripada raja sekadar yang kamu mampu." Anis menjawab: "Aku akan melakukannya."
Lalu Anis menyampaikan perkara tersebut kepada Abrahah dengan berkata: "Wahai raja! Ini adalah ketua kaum Quraisy berada di hadapan kamu, dia datang untuk meminta izin kepada kamu, dia juga merupakan pembesar negeri Mekah yang sentiasa memberi makan kepada orang ramai pada semua peringkat sama ada yang tinggal di kawasan wadi atau kawasan perkampungan badwi di bukit-bukit. Aku meminta izin daripada kamu agar dia dapat memberitahu kamu apa yang dihajatinya."
Lalu Abrahah mengizinkannya Abdul Muttalib adalah seorang yang tampan, perkasa dan cantik rupa parasnya. Apabila Abrahah melihatnya dia meraikan dan memuliakannya lalu meminta supaya Abdul Muttalib duduk bersamanya tetapi kaum Habsyah yang berada bersama dengannya tidak suka melihat Abdul Muttalib dijemput oleh raja untuk duduk bersama di atas singgahsana kerajaannya, lalu Abrahah turun dari singgahsananya dan menjemput Abdul Muttalib duduk bersama di sampingnya. kemudian Abrahah berkata kepada penterjemahnya: Katakanlah kepadanya: Apa yang kamu hajati? Lalu penterjemahnya menyampaikan apa yang diperkatakan oleh Abrahah.
Abdul Muttalib berkata: "Hajatku ialah supaya raja dapat memulangkan kembali dua ratus ekor unta yang dirampas daripadaku." Apabila perkara tersebut disampaikan kepada Abrahah, dia berkata kepada penterjemahnya: "Katakan kepadanya, aku merasa amat kagum ketika pertama kali melihat kamu tetapi ia hilang lenyap setelah kamu bercakap kepadaku. Apakah kamu hanya berbicara tentang dua ratus ekor unta yang aku rampas daripada kamu, sedangkan kamu meninggalkan Kaabah yang menjadi pegangan agama kamu dan bapa-bapa kamu. Aku datang untuk menghancurkannya tetapi kamu tidak pula bercakap denganku tentangnya?"
Lalu Abdul Muttalib menjawab: "Aku adalah tuan unta tersebut, manakala Kaabah tersebut ada tuan yang akan melindunginya." Abrahah berkata: "Tidak ada siapa yang dapat menghalang aku untuk menghancurkannya." Abdul Muttalib berkata kepadanya: "Biarlah kamu dengan keadaan kamu." Unta-unta tersebut dipulangkan kembali kepada Abdul Muttalib. Setelah itu Abdul Muttalib pulang kepada kaum Quraisy lalu menceritakan kisah pertemuannya dengan Abrahah dan memerintahkan mereka agar keluar dari Mekah dan berlindung di atas bukit. kemudian Abdul Muttalib mengunci pintu Kaabah dan beberapa orang lagi dari kaum Quraisy bersama dengan Abdul Muttalib berdoa kepada Allah s.w.t. semoga mengalahkan Abrahah dan tenteranya.
Apabila menjelang pagi, Abrahah mula bersedia dengan gajah dan tenteranya untuk memasuki Mekah dimana gajahnya bernama Mahmud. Setelah mereka mengarahkan gajah menuju ke Mekah, mereka telah bertemu dengan Nufail bin Habib. Beliau berdiri di sebelah gajah tersebut kemudian memegang telinganya lalu berkata: "Duduklah Mahmud dan kembalilah semula ke tempat kamu datang, sesungguhnya kamu berada di negeri yang diharamkan oleh Allah s.w.t.."
Kemudian beliau melepaskan telinga gajah tersebut, lalu gajah tersebut terus duduk. Mereka memukul gajah tersebut supaya bangun tetapi ia enggan berbuat demikian. Kemudian mereka mengarahkan gajah tersebut kembali ke Yaman, lalu ia terus bangun dan berjalan ke arah tersebut. Setelah itu mereka mengarahkannya ke Syam, gajah tersebut juga berjalan sebagaimana diarahkan. Mereka mengarahkan pula menuju ke arah Masyrik (timur), lalu gajah tersebut berjalan sebagaimana diarahkan. Setelah itu mereka mengarahkan semula menuju ke arah Mekah tetapi gajah tersebut terus duduk.
Lalu Allah s.w.t. mengutuskan kepada mereka sekumpulan burung seumpama burung layang-layang dimana setiap seekor membawa tiga biji batu, sebiji di paruh dan dua biji lagi di kakinya. Batu tersebut seperti kacang kuda dan kacang dal, sesiapa sahaja yang terkena akan hancur dan binasa. Tidak semua yang binasa di tempat tersebut, mereka telah keluar dari kawasan tersebut tetapi rebah bergelimpangan di setiap jalan lalu mati dalam keadaan yang penuh dahsyat. Abrahah terkena lontaran batu tersebut di badannya, mereka membawanya dalam keadaan jari-jarinya terputus tetapi apabila tiba di San'a, Abrahah meninggal dunia di sana.

Ibadat Haji Nabi Ibrahim


Ibadat Haji Nabi Ibrahim a.s
Setelah Nabi Ibrahim a.s selesai menyeru orang ramai, Jibril a.s telah mengiringi beliau lalu menunjukkan kepadanya bukit Safa dan Marwah. Jibril a.s juga membawa beliau ke sempadan Tanah Haram, lalu mengarahkannya supaya mendirikan batu di sempadan tersebut, Nabi Ibrahim a.s terus melakukan arahan tersebut.

Beliau merupakan orang pertama yang mendirikan sempadan Tanah Haram dengan ditunjukkan oleh Jibril a.s. Pada hari yang ke 7 Zulhijah Nabi Ibrahim a.s telah berkhutbah sambil berdiri ketika tergelincir matahari manakala Nabi Ismail duduk mendengarnya. Pada keesokan harinya, kedua-duanya keluar secara berjalan kaki sambil bertalbiah dan berpakaian ihram. Masing-masing membawa bekalan makanan dan bertongkat, oleh itu hari tersebut dinamakan hari Tarwiah. Apabila kedua-duanya tiba di Mina, mereka berdua mendirikan sembahyang Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Kedua-duanya berhenti rehat di bahagian sebelah kanan dan tinggal di situ sehingga keluar matahari di atas bukit Thabir. Selepas itu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s bertolak secara berjalan kaki sehinggalah tiba di Arafah, ketika itu Jibril a.s ada bersama mereka. Jibril a.s menunjukkan kepada mereka bukit-bukit di sepanjang perjalanan sehinggalah mereka berhenti rehat di Namirah. Di situ, Jibril menunjukkan bukit Arafah kepada Nabi Ibrahim a.s tetapi ketika itu Nabi Ibrahim a.s telahpun mengetahuinya, lalu berkatta: Yang bermaksud: "Aku telah mengetahuinya, oleh itu tempat tersebut dinamakan Arafah."
Apabila matahari tergelincir, Jibril a.s mengiringi mereka berdua meneruskan perjalanan sehingga sampai di tempat terdapat masjid pada hari ini. Di situ Nabi Ibrahim a.s berdiri menyampaikan beberapa kalimah, manakala Nabi Ismail a.s duduk untuk mendengarnya, kemudian mereka menunaikan sembahyang Zuhur dan Asar secara jamak. Selepas itu Jibril a.s mengangkat mereka berdua ke tempat yang tinggi, lalu mereka berdiri dan berdoa sehinggalah matahari terbenam dan cahayanya hilang. Kemudian mereka berdua bertolak dari Arafah dan apabila tiba di Jam'in, mereka berhenti untuk menunaikan sembahyang Maghrib dan Isyak di situ iaitu di tempat orang ramai menunaikan sembahyang pada hari ini. Mereka bermalam di sana sehingga terbit fajar, mereka berdua menunggu sehingga keluar cahaya sebelum terbit matahari lalu meneruskan perjalanan. Apabila tiba di Muhassir, kedua-duanya berjalan dengan cepat sehinggalah berjaya melintasi kawasan tersebut, lalu kembali berjalan sebagaimana sebelumnya. Apabila tiba di kawasan Jamrah, mereka berdua melontar Jamratul Aqabah sebanyak tujuh lontaran dengan batu yang dibawa dari Jam'in. Mereka keluar dari Mina pada waktu pagi ke kawasan sebelah kanan kemudian menyembelih korban di tempat penyembelihan dan bercukur. Setelah itu mereka melontar Jamrah pada hari-hari Mina sehinggalah apabila matahari telah meninggi, mereka berulang-alik secara berjalan kaki. Mereka keluar pada hari Sadr (selesai dari mengerjakan ibadat Haji) lalu menunaikan sembahyang Zuhur di Abtah. Jibril a.s telah menunjukkan cara setiap amalan yang telah dilakukan ini.

Monday

Seruan Kerja Haji


Seruan Untuk Menunaikan Haji
Setelah Nabi Ibrahim a.s selesai membina Kaabah, Allah s.w.t memerintahkannya supaya menyeru umat manusia untuk mengerjakan Haji, sebagaimana firmanAllah s.w.t"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhanmu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan dan ceruk rantau yang jauh." 

Nabi Ibrahim al-Khalil berkata: "Wahai Tuhan! Apakah yang akan menyampaikan suaraku?" Lalu Allah Yang Maha Agung menjawab: "Serulah, Aku yang akan menyampaikannya." Lalu Nabi Ibrahim a.s menaiki bukit Abu Qubis, lantas memasukkan jari ke dalam kedua belah telinganya sambil menghadap ke arah timur dan barat sambil menyeru: "Wahai sekalian manusia! Diwajibkan ke atas kamu untuk menunaikan ibadat Haji di Baitul Atiq, oleh itu sahutlah seruan Tuhankamu Yang Maha Agung". Seruan tersebut telah didengari oleh setiap orang yang berada di dalam salbi kaum lelaki dan setiap yang berada di dalam rahim-rahim perempuan. Seruan tersebut juga telah disahut oleh setiap orang yang berada dalam pengetahuan Allah s.w.t bahawa dia akan menunaikan ibadat Haji, sehinggalah ke hari Kiamat. Mereka semua berkata: Yang bermaksud: "Telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, telah aku penuhi seruanMu."

Kurban


Kurban:
Definisinya:
Menyembelih unta, lembu atau kambing untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.

Waktu Penyembelihan Korban:
Waktu penyembelihan bermula selepas sembahyang pada Hari Raya Haji sehingga berakhir Hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah).

Hukumnya:
Sunat Muakkad, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Amalan anak Adam pada Hari Raya Haji yang sangat disukai Allah s.w.t. ialah penyebelihan korban, sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat dengan tanduknya, kukunya dan bulu-bulunya, sesungguhnya Allah s.w.t. akan menerima penyembelihan korban tersebut sebelum darahnya tumpah kebumi, maka hendaklah kamu ikhlaskan diri kamu semasa kamu melakukan penyembelihan korban tersebut."
Ia disyariatkan pada tahun kedua Hijrah: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyembelih korban dua ekor kabasy yang berwarna antara putih dan hitam serta mempunyai dua tanduk, kedua-duanya disembelih oleh Baginda s.a.w.dengan tanganya. Baginda s.a.w. mengucapkan Basmalah dan bertakbir serta meletakkan kaki dibahagian tepi rusuk kibasy tersebut.
Jenis-jenisnya:
Unta yang berumur lima tahun, lembu yang berumur dua tahun atau kambing yang berumur enam bulan. Adapun unta dan lembu hanya perlu diambil satu bahagian sahaja dari tujuh bahagian.

Pembahagiannya:
Disyarakkan kepada orang yang berkorban memakan satu pertiga daripada daging tersebut, satu pertiga dihadiahkan dan satu pertiga lagi disedekahkan. Dia diharuskan memakan lebih dari satu pertiga daripada daging korban tetapi sekiranya dia memakan kesemua daging tersebut dan dia hanya ingin menyedekahkan harga bagi sedikit daging korban sahaja, dia bolehlah berbuat demikian.

Penyembelihannya:
Disunatkan supaya bertakbir kepada Allah s.w.t selepas mengucapkan Basmalah dan selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w kemudian berkata: Yang bermaksud: "Wahai Tuhanku! Engkaulah yang menciptakan aku dan kepadaMu aku akan kembali, oleh itu terimalah korban daripadaku."

Friday

Jenis2 DAM


JENIS-JENIS DAM
Fidyah bercukur kerana keadaan terdesak, memakai pakaian dan memakai wangi-wangian:
Dipilih di antara tiga perkara, iaitu:
Berpuasa tiga hari
Memberi makan kepada enam orang fakir miskin dimana setiap seorang diberikan setengah gantang.
Mereka yang membunuh binatang buruan yang mudah didapati:
Boleh memilih jenis Fidyah sama ada menggantikannya dengan binatang dari jenis yang sama atau menilaikannya dengan wang untuk membeli makanan dimana untuk setiap orang fakir miskin diberikan satu cupak atau berpuasa satu hari untuk setiap cupak.

Mereka yang membunuh binatang buruan yang susah didapati:
Boleh memilih sama ada memberi makanan atau berpuasa.

Fidyah kerana menggauli isteri:

Sama dengan Fidyah bercukur kerana terpaksa.

Fidyah bersetubuh:
Sekiranya berlaku sebelum Tahallul Awal:
Seekor badanah (unta atau lembu), sekiranya tidak didapati hendaklah berpuasa sebanyak tiga hari dalam musim Haji dan tujuh hari apabila kembali ke tanah air.
Sekiranya berlaku selepas Tahallul Awal:
Fidyahnya sama sebagaimana Fidyah bercukur kerana terpaksa.

DAM:
Definisinya:
Dam ialah binatang ternakan (berkaki empat) yang dikorbankan di Baitullah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.

Dam Tatawwuk
Definisinya:
Ialah binatang ternakan (berkaki empat) yang dikorbankan di Baitullah untuk kepada Allah s.w.t.

mengabdikan diri Dalilnya: "Nabi Muhammad s.a.w. telah mengorbankan sebanyak seratus ekor badanah (unta dan lembu) semasa mengerjakan Haji Akbar, Baginda s.a.w. juga pernah mengorbankan kambing."
Hukumnya:
Sunat bagi mereka yang mengerjakan Haji Ifrad dan mereka yang mengerjakan Umrah serta disunatkan memakan daging yang dikorbankan itu kerana Nabi Muhammad s.a.w. telah memerintahkan supaya sembelihan tersebut dipotong, dimasak dan memakannya serta menghirup kuahnya." Harus bagi mereka yang tidak berada dalam Ihram menghantar Damnya ke Mekah supaya dikorbankan di sana untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.

Tempat Penyembelihan:
Tanah Haram.

Jenis-jenisnya:
Unta yang berumur genap lima tahun, lembu yang berumur genap dua tahun atau kambing yang berumur genap enam bulan.

Dam Tamattu:
Definisinya: 
Binatang ternakan (berkaki empat) yang dikorbankan di Baitullah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.

Dalilnya: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa mengerjakan Ibadat Haji.
Dia boleh melakukannya, kemudian wajiblah dia menyembelih Dam yang mudah didapati. Sekiranya tidak didapati Dam tersebut ataupun harganya hendaklah berpuasa selama tiga hari semasa mengerjakan Haji dan tujuh hari setelah kembali kepada keluarganya (tanah airnya). Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Kalau dia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing). 

Tempat Penyembelihan:
Wajib dikorbankan di Tanah Haram dan dibahagikan kepada orang-orang miskin dan harus dibahagikan Dam tersebut kepada seluruh orang Islam yang fakir.

Dam Ihsar:
Definisinya:
Binatang ternakan (berkaki empat) yang dikorbankan di Baitullah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.

Dalilnya: Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati." 

Hukumnya:
Wajib kepada mereka yang terhalang dari bertahallul sebelum sempat menyempurnakan ibadat Haji.

Tempat Penyembelihan:
Di tempat berlaku sebab-sebab yang menghalangnya.

Jenis-jenisnya:

Satu pertujuh dari unta atau lembu atau seekor kambing.

Ibadat Haji Anak Kecil


Ibadat Haji Anak Kecil (Kanak-kanak):
Kanak-kanak tidak diwajibkan mengerjakan Haji tetapi sekiranya dia mengerjakannya, Haji tersebut dikira sah tetapi tidak mendapat ganjaran Haji yang fardu.

Diriwayatkan bahawa seorang perempuan telah mengangkat seorang kanak-kanak (untuk ditunjukkan) kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: "Adakah (kanak-kanak) ini boleh mengerjakan haji?" Baginda s.a.w. menjawab: "Ya dan kamu mendapat pahala."
Diriwayatkan daripada Jabir r.a. katanya: "Kami telah mengerjakan haji bersama Rasulullah s.a.w. dan bersama-sama kami juga terdapat wanita dan kanak-kanak, kami telah bertalbiah untuk kanak-kanak kami juga telah melontar untuk mereka."
Apabila kanak-kanak mengerjakan Haji sebelum sampai umur (baligh), dia diwajibkan mengerjakan Haji apabila telah sampai umur dan begitu juga dengan seorang hamba, apabila dia mengerjakan Haji ketika menjadi hamba kemudian dimerdekakan, wajiblah dia mengerjakan Haji sekiranya dia mempunyai kemampuan untuk mengerjakannya.

Ibnu Abbas r.a. berkata: "Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Mana-mana kanak-kanak yang telah mengerjakan Haji kemudian dia telah baligh, wajiblah dia mengerjakan Haji sekali lagi. Mana-mana hamba yang telah mengerjakan Haji kemudian telah dimerdekakan, wajiblah dia mengerjakan Haji sekali lagi".

Apabila seseorang kanak-kanak telah mumayyiz bolehlah berniat Ihram sendiri dan menunaikan ibadat Haji, jika belum mumayyiz walinya bolehlah berniat Ihram dan bertalbiah untuknya, membawanya melakukan Tawaf dan Saie, Wukuf di Padang Arafah serta melontar Jamrah untuknya. Sekiranya seseorang kanak-kanak sampai umur (baligh) sebelum Wukuf di Padang Arafah atau ketika berada di sana, Hajinya dikira Haji fardu.

Imam Malik berpendapat:
Tidak dikira Haji fardu.

Pendapat Mazhab Hanafi:
Dikira sebagai fardu sekiranya dia memperbaharui niat Ihram selepas baligh.

Haji Orang Perempuan


Ibadat Haji Orang Perempuan:
Orang perempuan tidak wajib mengerjakan Haji sehinggalah dia mempunyai suami atau mahram yang boleh menemaninya di dalam perjalanannya berdasarkan kepada hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Orang perempuan tidak boleh bermusafir melainkan bersama marham." Seorang leleaki telah berdiri lalu berkata: "Wahai Rasulullah, isteriku telah keluar untuk mengerjakan haji sedang aku ditugaskan menyertai peperangan?" LaluBaginda s.a.w. bersabda: "Pergilah dan kerjakan haji bersama isteri kamu."
Mengikut pendapat Mazhab Hanafi dan Mazhab Hambali, kedua-duanya meletakkan syarat:
Orang perempuan tidak boleh keluar (untuk mengerjakan Haji) melainkan bersama suami atau mahram.



Mengikut pendapat Mazhab Syafie:
Disyaratkan bersama suami atau mahram atau beberapa orang perempuan yang thiqah (dipercayai) dan ada yang berpendapat cukup hanya dengan seorang perempuan yang thiqah sahaja. 

Mengikut pendapat Mazhab Maliki:

Orang perempuan dibolehkan keluar untuk mengerjakan Haji dengan ditemani oleh seorang perempuan yang dipercayai dengan syarat jarak di antara dia dan Mekah adalah perjalanan selama satu hari satu malam dan apabila seorang perempuan menyalahi syarat ini dan mengerjakan Haji tanpa ditemani suami atau mahram, Hajinya dikira sah tetapi dia berdosa.

Meminta Keizinan Suami Untuk Mengerjakan Ibadat Haji:
Suami tidak boleh menegah isterinya dari mengerjakan Haji yang fardu dan Haji yang dinazarkan manakala Haji sunat bolehlah dia menegahnya. Orang perempuan wajib ditemani mahram atas perbelanjaannya manakala mahram atau suami tidak diwajibkan bermusafir bersamanya. 
Apabila seseorang perempuan didatangi haid atau nifas, dia dibolehkan mengerjakan semua perkara yang dilakukan oleh orang Haji tetapi tidak boleh melakukan Tawaf di Baitullah, berpandukan kepada hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: "Aku tiba di Mekah ketika sedang haid dan aku tidak melakukan Tawaf, sama ada di Baitullah ataupun di antara Safa dan Marwah." Katanya lagi: "Aku telah mengemukakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w lalu Baginda s.a.w. bersabda: "Lakukanlah sebagaimana yang dilakukan oleh orang Haji tetapi janganlah mengerjakan Tawaf di Baitullah sehingga kamu telah suci."

Apabila seseorang perempuan didatangi haid atau nifas sebelum mengerjakan Tawaf Qudum gugurlah pekerjaan tersebut dan dia tidak dikenakan apa-apa. Apabila seseorang perempuan didatangi haid atau nifas sebelum mengerjakan Tawaf Ifadhah, dia hendaklah kekal berada di dalam Ihram sehingga telah suci kemudian bolehlah mengerjakan Tawaf. Sekiranya seseorang perempuan mengerjakan Tawaf sedangkan dia didatangi haid, Tawaf tersebut tidak sah mengikut pendapat Mazhab Maliki, Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali, manakala mengikut pendapat Mazhab Hanafi pula tawaf tersebut sah tetapi makruh yang membawa kepada haram dan dia juga berdosa serta dikenakan Badanah (Dam seekor unta atau lembu). Apabila seseorang perempuan didatangi haid atau nifas selepas Tawaf Ifadah dia tidak perlu lagi mengerjakan Tawaf Wida'.

Jenis -Jenis Haji


JENIS-JENIS HAJI
Haji Tamattu':

Haji Tamattu' ialah mengerjakan Umrah pada bulan-bulan Haji, kemudian mengerjakan Haji pada tahun yang sama, di mana ketika berniat ihram Haji jemaah Haji berniat secara "Haji Tamattu'". Setelah itu dia berniat dan berihram untuk mengerjakan Umrah secara berasingan seperti yang dijelaskan sebagaimana berikut. Dia hendaklah menyebut:

Yang bermaksud: (Aku telah menyahut seruanMu untuk menunaikan Umrah kerana ingin mengerjakan Haji Tamattu'), wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku ingin mengerjakan Umrah, maka permudahkanlah bagiku, maka terimalah ibadat Umrah daripadaku, sahaja aku menunaikan ibadat Umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala. Serta bertalbiah. Ketika sampai di Mekah al-Mukarramah jemaah Haji pergi ke Baitullah al-Haram lalu mengerjakan Tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan, kemudian bersaie di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali, kemudian bertahallul dari Ihram dengan bercukur atau bergunting. Jemaah Haji terus berada dalam keadaan Tahallul sehinggalah sampai pada hari Tarwiah iaitu pada 8 Zulhijah di mana jemaah Haji akan berniat Ihram Haji dari tempat dia turun sambil berkata:
 "Aku telah menyahut seruanMu untuk menunaikan Haji, wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku ingin mengerjakan Haji, maka permudahkanlah bagiku, maka terimalah ibadat Haji daripadaku, sahaja aku menunaikan ibadat Haji dan berihram dengannya kerana Allah Taala. Telah aku penuhi seruanMuwahai Tuhanku, telah aku penuhi seruanMu, telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, tidak ada sekutu bagiMu. Telah aku penuhi seruanMu, sesungguhnya segala puji, segala nikmat dan segala pemerintahan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu. Wahai Tuhanku! Diharamkan bagiMu rambutku dan diriku, jasadku dan semua anggotaku, daripada wangi-wangian dan perempuan serta dari semua perkara yang Engkauharamkan terhadap orang yang berihram, aku mengharapkan pertolonganMu, wahai Tuhan sekelian alam."

Seterusnya dia mengerjakan Haji sebagaimana jemaah Haji yang mengerjakan Haji Ifrad, cuma dia perlu membayar Dam kerana menikmati kemudahan semasa mengerjakan Umrah pada bulan-bulan Haji sebagaimana firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan."

Umrah (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Orang yang telah mengerjakan Tawaf Umrah ketika mengerjakan Haji Tamattu' tidak perlu lagi mengerjakan Tawaf Qudum bagi Haji malah selepas Tahallul yang pertama dia hendaklah melakukan Tawaf Ifadhah dan bersaie di antara Safa dan Marwah bagi ibadat Haji mengikut pendapat jumhur ulama. Walau bagaimanapun bagi Mazhab Hanafi, bagi jemaah Haji yang mengerjakan Haji Tamattu' yang tidak membawa (mendapatkan) binatang ternakan, tetapi jika telah membawa (mendapatkan) binatang tersebut, maka hukumnya sama seperti hukum Haji Qiran.


Haji Qiran:
Haji Qiran ialah menghimpunkan antara Haji dan Umrah dalam satu perjalanan musafir (sekali pergi). Jemaah Haji berniat Haji dan Umrah dengan satu niat dari miqat yang ditetapkan dengan berkata: Yang bermaksud: "Aku telah memenuhi seruanMu untuk menunaikan ibadat Haji dan Umrah."
Apabila jemaah Haji yang mengerjakan Haji Qiran memasuki Kota Mekah, dia melakukan Tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan secara berlari-lari anak pada tiga pusingan pertama kemudian diteruskan dengan bersaie di antara Safa dan Marwah seterusnya disyarakkan di sisi Hanafi agar jemaah Haji melakukan pekerjaan-pekerjaan Haji sebagaimana Haji Ifrad manakala di sisi jumhur memadai bagi jemaah Haji yang mengerjakan Haji Qiran melakukan satu Tawaf (tujuh pusingan) dan satu Saie (tujuh pusingan) sahaja kerana Tawaf dan Saie Umrah yang dilakukan itu juga dikira sebagai Tawaf dan Saie Haji sehinggalah dia bertahallul dari Umrah dan Haji secara serentak.




Haji Ifrad:
Haji Ifrad ialah berihram Haji sahaja (mengerjakan ibadat Haji secara berasingan) di mana jemaah Haji hanya berniat ihram Haji sahaja di miqat yang ditetapkan kemudian menyebut: Yang bermaksud: "Wahai Tuhanku! Aku ingin mengerjakan ibadat Haji, oleh itu permudahkanlah bagiku dan terimalah ibadat Hajiku."
Lantas bertalbiah. Apabila memasuki Kota Mekah jemaah Haji mula melakukan pekerjaan Haji di Masjidil Haram di mana apabila melihat Baitullah jemaah Haji bertakbir kemudian mengucapkan LA ILAAHA ILLALLAH dan bertasbih seterusnya melakukan Tawaf bagi bukan penduduk Mekah iaitu Tawaf Qudum mengelilingi Baitullah sebanyak tujuh kali sambil menutup bahu kiri dan berlari-lari anak pada tiga pusingan pertama.
Cara tersebut adalah sunat di sisi jumhur dan wajib bagi Mazhab Maliki. Penduduk Mekah tidak boleh melakukan Tawaf tersebut. Setelah selesai melakukan Tawaf Qudum, dilakukan pula Saie di antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh pusingan. Kemudian terus berada di Mekah dalam keadaan berihram. Apabila tiba hari Tarwiah dia berangkat ke Mina dan berada di sana sehingga selesai mendirikan sembahyang Subuh hari Arafah. Setelah itu bertolak pula ke Arafah dan berada di sana serta mendirikan sembahyang Zuhur dan Asar pada waktu Zuhur (Jamak Taqdim). Setelah tenggelam matahari jemaah Haji mula ifadhah (beredar) sehingga tiba di Muzdalifah lalu mendirikan sembahyang Maghrib dan Isyak. Apabila terbit matahari pada Hari Nahar (Hari Raya Korban), jemaah Haji ifadhah (beredar) lagi ke Mina lantas mula melontar. Talbiah tidak lagi disebut setelah bermulanya lontaran pertama. Kemudian menyembelih korban jika ingin berbuat demikian lantas bercukur atau bergunting sebagai bertahallul, dengan demikian jemaah Haji dihalal semua perkara yang diharamkan semasa dalam keadaan berihram kecuali perempuan (bersetubuh).
Setelah itu jemaah haji kembali ke Mekah lalu melakukan Tawaf di Baitullah sebagai Tawaf ziarah sebanyak tujuh pusingan seterusnya bersaie di antara Safa dan Marwah jika tidak melakukan Saie selepas Tawaf Qudum. Setelah selesai bolehlah bersaie dan bertahallul serta dihalalkan baginya perempuan (bersetubuh). Jemaah Haji kembali semula ke Mina dan berada di sana sehingga selesai melontar ketiga-tiga jamrah sama ada jemaah Haji yang tergesa-gesa ingin cepat pulang atau yang masih mempunyai banyak masa. Setelah itu jemaah Haji kembali lagi ke Mekah melakukan Tawaf Wida'.


Haji Untuk Orang Lain:(badal)
Sesiapa yang mempunyai perbelanjaan untuk mengerjakan ibadat Haji tetapi tidak terdaya untuk menunaikannya sendiri, sama ada disebabkan sakit ataupun tua, dia hendaklah menghantar seseorang supaya mengerjakan Haji untuknya berpandukan kepada hadis Al-Fadli bin Abbas: Bahawa seorang perempuan dari Khath'am telah bertanya kepada Rasullullah s.a.w.: "Wahai Rasulullah, Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memfardhukan ibadat haji keatas hambaNya, aku dapati ayahku terlalu tua dan tidak dapat bertahan diatas kenderaan, bolehkah aku mengerjakan haji untuknya?" Baginda s.a.w. menjawab: "Ya."

Ini adalah mengikut pendapat Imam Syafie, Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah manakala pendapat Imam Malik: Tidak wajib. Fardu Haji tidak gugur ke atas orang sakit yang sembuh selepas penggantinya menunaikan Haji untuknya dan dia diwajibkan mengulangi ibadat Haji. Mengikut pendapat Imam Ahmad fardu tersebut telah gugur apabila dia sembuh dari sakit. Sesiapa yang telah menunaikan Haji nazar sedangkan dia belum menunaikan Haji yang fardu, Haji tersebut akan dikira Haji yang fardu kemudian hendaklah dia menunaikan Haji nazarnya. Sesiapa yang meninggal dunia sebelum menunaikan ibadat Haji, ataupun Haji yang dinazarkan, walinya wajiblah mengupah seseorang untuk menunaikan Haji untuknya daripada harta peninggalannya dan ini merupakan pendapat Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali.


Manakala pendapat Mazhab Hanafi dan Mazhab Maliki pula:

Pewaris tidak diwajibkan menunai Haji untuk si mati melainkan apabila si mati telah mewasiatkannya dan hendaklah dia menunaikan Haji untuk si mati (dengan perbelanjaan) satu pertiga daripada harta peninggalannya.


Orang yang ingin menunaikan Haji untuk orang lain disyaratkan:
Telah menunaikan Haji untuk dirinya sendiri sama ada dia berkuasa atau tidak. Ini berpandukan riwayat daripada Ibnu Abbas r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w.telah terdengar seorang lelaki berkata: "Aku telah penuhi seruanMu untuk Syabramah.": Lalu Baginda s.a.w. bersabda: "Apakah kamu telah mengerjakan haji kamu sendiri?" Dia menjawab: "Tidak". Baginda s a.w. bersabda lagi: "Kerjakanlah haji untuk diri kamu, kemudian kerjakanlah haji untuk Syabramah."

Thursday

PANDUAN MENASIK HAJI



PANDUAN LENGKAP HAJI DAN UMRAH


Definisi Haji:
Hukum dan Dalilnya: 
Ibadat Haji difardhukan sekali seumur hidup bagi setiap orang Islam, sama ada lelaki atau perempuan.

Dalil dari al-Quran:

Firman Allah SWT: Yang bermaksud: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.
Allah SWT telah memfardhukan ibadat Haji pada tahun kesembilan hijrah dan Nabi  Muhammad SAW tidak pernah mengerjakan ibadat Haji kecuali Haji Wida'.

Dalil dari hadis:
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Islam dibina atas lima rukun." Baginda s.a.w. menyebut di antaranya ialah ibadat Haji. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Tidak ada ganjaran bagi Ibadat Haji yang mabrur kecuali Syurga." Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan ibadat Haji dan tidak sekali-kali menyetubuhi isterinya juga tidak melakukan maksiat nescaya dia kembali suci bersih sebagaimana hari dia dilahirkan." Sabda Rasulullah s.a.wyang bermaksud: "Wahai umatku semua, sesungguhnya Allah s.w.t. memfardhukan ibadat haji kepada kamu, oleh itu kamu hendaklah mengerjakan ibadat haji." Lalu seorang lelaki bertanya Baginda s.a.w.: "Adakah wajib dikerjakan pada setiap tahun, wahai Rasullullah?" Rasulullah s.a.w. hanya diam sehinggalah lelaki tersebut bertanya kali ketiga lantas Baginda s.a.w. menjawab: "Jika aku katakan ya, nescaya kamu wajib mengerjakan pada setiap tahun, oleh itu kerjakanlah ibadat haji ketika kamu berkemampuan."
 
Semua imam-imam bersependapat bahawa ibadat Haji adalah fardhu, malah ia adalah rukun Islam kelima dan ia juga fardhu yang perlu dikerjakan secepat mungkin.
Fardu:

Pekerjaan Haji yang mesti dikerjakan dan ia adalah penentu bagi ibadat Haji sama ada sah atau tidak serta tidak wajib membayar Dam apabila meninggalkannya. Fardhu juga dikira sebagai rukun dan syarat. Semua Mazhab bersependapat tentang perkara fardhu dan wajib dalam Haji. Pekerjaan Haji yang mesti dikerjakan malah batal Haji jika meninggalkannya. Fardhu juga dikira sebagai rukun Haji.

Perkara-perkara fardu di dalam Haji terdiri dari empat perkara iaitu:
1- Berihram.
2- Wuquf di Arafah.
3- Tawaf Ifadhah.
4- Bersaie di antara Safa dan Marwah.

Semua Mazhab bersependapat tentang perkara fardhu dan wajib dalam Haji.
Perkara-perkara wajib didalam Haji:
Wajib: Pekerjaan Haji yang mesti dikerjakan serta wajib membayar Dam jika meninggalnya.

Perkara-perkara wajib di dalam Haji terdiri dari empat perkara iaitu:
1- Berihram dari Miqat.
2- Wuquf di Arafah.
3- Bermalam di Muzdalifah.
4- Bermalam di Mina.
5- Bercukur atau bergunting rambut dan bercukur adalah afdhal.
6- Melontar setiap Jamrah.
7- Tawaf Wida'

Semua Mazhab bersependapat tentang perkara fardhu dan wajib dalam Haji.
Perkara-perkara sunat didalam Haji:
Perkara yang digalak mengerjakannya. Orang yang mengerjakannya akan diganjarkan dengan pahala dan orang yang meninggalkannya tidak akan dibalas seksa. Sunat, mandub, mustahab dan tatawwu' ialah: Beberapa perkataan yang mempunyai pengertian sama.
Perkara-perkara sunat di dalam Haji iaitu:
1- Mandi sunat Ihram.
2- Bertalbiah.
3- Melakukan Tawaf Qudum bagi bagi orang yang mengerjakan Haji Ifrad dan Haji Qiran.
4- Bermalam di Mina pada malam Arafah.
5- Berlari-lari anak dan sopan-santun ketika melakukan Tawaf Qudum.