Friday

Haji Orang Perempuan


Ibadat Haji Orang Perempuan:
Orang perempuan tidak wajib mengerjakan Haji sehinggalah dia mempunyai suami atau mahram yang boleh menemaninya di dalam perjalanannya berdasarkan kepada hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Orang perempuan tidak boleh bermusafir melainkan bersama marham." Seorang leleaki telah berdiri lalu berkata: "Wahai Rasulullah, isteriku telah keluar untuk mengerjakan haji sedang aku ditugaskan menyertai peperangan?" LaluBaginda s.a.w. bersabda: "Pergilah dan kerjakan haji bersama isteri kamu."
Mengikut pendapat Mazhab Hanafi dan Mazhab Hambali, kedua-duanya meletakkan syarat:
Orang perempuan tidak boleh keluar (untuk mengerjakan Haji) melainkan bersama suami atau mahram.



Mengikut pendapat Mazhab Syafie:
Disyaratkan bersama suami atau mahram atau beberapa orang perempuan yang thiqah (dipercayai) dan ada yang berpendapat cukup hanya dengan seorang perempuan yang thiqah sahaja. 

Mengikut pendapat Mazhab Maliki:

Orang perempuan dibolehkan keluar untuk mengerjakan Haji dengan ditemani oleh seorang perempuan yang dipercayai dengan syarat jarak di antara dia dan Mekah adalah perjalanan selama satu hari satu malam dan apabila seorang perempuan menyalahi syarat ini dan mengerjakan Haji tanpa ditemani suami atau mahram, Hajinya dikira sah tetapi dia berdosa.

Meminta Keizinan Suami Untuk Mengerjakan Ibadat Haji:
Suami tidak boleh menegah isterinya dari mengerjakan Haji yang fardu dan Haji yang dinazarkan manakala Haji sunat bolehlah dia menegahnya. Orang perempuan wajib ditemani mahram atas perbelanjaannya manakala mahram atau suami tidak diwajibkan bermusafir bersamanya. 
Apabila seseorang perempuan didatangi haid atau nifas, dia dibolehkan mengerjakan semua perkara yang dilakukan oleh orang Haji tetapi tidak boleh melakukan Tawaf di Baitullah, berpandukan kepada hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: "Aku tiba di Mekah ketika sedang haid dan aku tidak melakukan Tawaf, sama ada di Baitullah ataupun di antara Safa dan Marwah." Katanya lagi: "Aku telah mengemukakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w lalu Baginda s.a.w. bersabda: "Lakukanlah sebagaimana yang dilakukan oleh orang Haji tetapi janganlah mengerjakan Tawaf di Baitullah sehingga kamu telah suci."

Apabila seseorang perempuan didatangi haid atau nifas sebelum mengerjakan Tawaf Qudum gugurlah pekerjaan tersebut dan dia tidak dikenakan apa-apa. Apabila seseorang perempuan didatangi haid atau nifas sebelum mengerjakan Tawaf Ifadhah, dia hendaklah kekal berada di dalam Ihram sehingga telah suci kemudian bolehlah mengerjakan Tawaf. Sekiranya seseorang perempuan mengerjakan Tawaf sedangkan dia didatangi haid, Tawaf tersebut tidak sah mengikut pendapat Mazhab Maliki, Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali, manakala mengikut pendapat Mazhab Hanafi pula tawaf tersebut sah tetapi makruh yang membawa kepada haram dan dia juga berdosa serta dikenakan Badanah (Dam seekor unta atau lembu). Apabila seseorang perempuan didatangi haid atau nifas selepas Tawaf Ifadah dia tidak perlu lagi mengerjakan Tawaf Wida'.

No comments: