Friday

Ibadat Haji Anak Kecil


Ibadat Haji Anak Kecil (Kanak-kanak):
Kanak-kanak tidak diwajibkan mengerjakan Haji tetapi sekiranya dia mengerjakannya, Haji tersebut dikira sah tetapi tidak mendapat ganjaran Haji yang fardu.

Diriwayatkan bahawa seorang perempuan telah mengangkat seorang kanak-kanak (untuk ditunjukkan) kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: "Adakah (kanak-kanak) ini boleh mengerjakan haji?" Baginda s.a.w. menjawab: "Ya dan kamu mendapat pahala."
Diriwayatkan daripada Jabir r.a. katanya: "Kami telah mengerjakan haji bersama Rasulullah s.a.w. dan bersama-sama kami juga terdapat wanita dan kanak-kanak, kami telah bertalbiah untuk kanak-kanak kami juga telah melontar untuk mereka."
Apabila kanak-kanak mengerjakan Haji sebelum sampai umur (baligh), dia diwajibkan mengerjakan Haji apabila telah sampai umur dan begitu juga dengan seorang hamba, apabila dia mengerjakan Haji ketika menjadi hamba kemudian dimerdekakan, wajiblah dia mengerjakan Haji sekiranya dia mempunyai kemampuan untuk mengerjakannya.

Ibnu Abbas r.a. berkata: "Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Mana-mana kanak-kanak yang telah mengerjakan Haji kemudian dia telah baligh, wajiblah dia mengerjakan Haji sekali lagi. Mana-mana hamba yang telah mengerjakan Haji kemudian telah dimerdekakan, wajiblah dia mengerjakan Haji sekali lagi".

Apabila seseorang kanak-kanak telah mumayyiz bolehlah berniat Ihram sendiri dan menunaikan ibadat Haji, jika belum mumayyiz walinya bolehlah berniat Ihram dan bertalbiah untuknya, membawanya melakukan Tawaf dan Saie, Wukuf di Padang Arafah serta melontar Jamrah untuknya. Sekiranya seseorang kanak-kanak sampai umur (baligh) sebelum Wukuf di Padang Arafah atau ketika berada di sana, Hajinya dikira Haji fardu.

Imam Malik berpendapat:
Tidak dikira Haji fardu.

Pendapat Mazhab Hanafi:
Dikira sebagai fardu sekiranya dia memperbaharui niat Ihram selepas baligh.

No comments: