Monday

Kurban Nabi Ibrahim


Kisah-kisah Al-Quran: Kisah Penyembelihan
1-Setelah Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s berpindah dari negeri kaumnya, beliau memohon kepada Allah s.w.t supaya dikurniakan seorang anak yang soleh, lalu Allah s.w.t mengembirakannya dengan mengurniakan seorang anak yang cantik iaitu Nabi Ismail a.s yang dilahirkan ketika Nabi Ibrahim a.s berumur 86 tahun. Setelah Nabi Ismail a.s meningkat dewasa, Nabi Ibrahim a.s telah bermimpi menyembelih anaknya, dimana telah ditetapkan bahawa mimpi para Nabi adalah Wahyu. Ini merupakan ujian yang besar daripada Allah s.w.t terhadap Nabi Ibrahim a.s sebagaimana firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu." Lalu Nabi Ismail a.s menjawab sebagaimana firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Wahai ayahku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah engkau akan mendapati aku dari kalangan orang-orang yang sabar. Dikatakan kedua-duanya telah berserah diri sebagaimana firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah s.w.t. itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami). Setelah kedua-duanya berserah diri untuk menjalankan perintah Allahs.w.t. dan berazam dengan bersungguh-sungguh, Allah s.w.t telah menyeru dan memberikan khabar yang mengembirakan melalui Malaikat. Sebagaimana firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu, demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan, sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian, salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim, demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha melakukan kebaikan, sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.
Setelah tercapai maksud ujian terhadap Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Ismail a.s serta mereka berdua bersegera untuk menunaikan perintah Allah s.w.t lalu Allah Taala mengantikan dengan seekor kibas putih yang mempunyai mata dan tanduk yang sempurna sebagai tebusan daripada menyembelih anaknya. Nabi Ibrahim a.s mendapati kibas tersebut terikat di sebatang pokok berhampiran bukit Thabir lalu menyembelihnya di Mina. Tempat ini telah dijadikan sebagai tempat mengerjakan ibadat Haji dan sunat berkorban bersempena dari peristiwa Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s serta berterusan sehingga kepada nabi kita Nabi Muhammad s.a.w

Meninggikan Asas (Tapak)
1.
Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s telah pergi ke Mekah untuk menunaikan perintah Allah s.w.t supaya membina Baitullah (Kaabah). Beliau berkata kepada anaknya Ismail a.s: "Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memerintahkan aku dengan satu perkara" Lalu Nabi Ismail a.s berkata: "Lakukanlah apa yang telah diperintahkanAllah s.w.t. kepada kamu" Nabi Ibrahim a.s bertanya: "Adakah kamu akan menolongku?" Nabi Ismail a.s menjawab: "Aku akan menolongmu" Lalu beliau berkata: "Sesungguhnya Allah s.w.t. memerintahkan aku supaya membina sebuah rumah (Kaabah) di sana, sambil mengisyaratkan ke arah timbunan tanah yang lebih tinggi dari kawasan sekitarnya." Mereka berdua mendirikan tapak asas Baitullah di kawasan tersebut, dimana Nabi Ismail a.s mengangkut ketulan-ketulan batu manakala Nabi Ibrahim a.s membinanya. Apabila binaan tersebut telah tinggi, Nabi Ismail a.s membawa sebuah batu dan meletakkannya di samping Nabi Ibrahim a.s. Beliau berdiri di atas batu tersebut semasa meneruskan pembinaan manakala Nabi Ismail a.s menghulurkan ketulan batu, di samping itu mereka berdoa sebagaimana firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami) sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa mereka) dari (syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." 
Sehinggalah Allah s.w.t. menyempurnakan pembinaan Baitullah (Kaabah) tersebut kepada mereka berdua.
2.
Tidak terdapat riwayat sahih yang menyatakan Baitullah telahpun dibina sebelum Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s. Sesiapa yang berpegang kepada firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Baitullah (untuk membinanya), ataupun Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu."
Maksud yang dikehendaki pada ayat-ayat tersebut ialah tempat pembinaan Kaabah tersebut telahpun tetap dalam pengetahuan Allah s.w.t. semenjak menciptakan langit dan bumi. Ini menunjukkan tempat pembinaan Kaabah itu telahpun dimaklumi, manakala pembinaan Baitullah pula telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim Al-Khalil dan anaknya Nabi Ismail a.s. Khabar-khabar yang menyatakan Baitullah telah dibina sebelum Nabi Ibrahim a.s adalah diriwayatkan daripada Bani Israil, kita tidak boleh membenarkannya dan mendustakannya, hanya Allah s.w.t. sahaja Yang Maha Mengetahui.
3.
Ketika Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s membina Kaabah tersebut beliau menjadikan:
*
Tingginya sembilan hasta.
*
Panjang di paras bumi dari Hajarulaswad hingga ke penjuru sebelah Syam adalah sepanjang 32 hasta.
*
Lebar di sebelah bahagian saluran air bermula dari penjuru Syam hingga ke penjuru sebelah barat adalah seluas 22 hasta.
*
Panjang di paras bumi bermula dari penjuru sebelah barat hingga ke penjuru sebelah Yaman adalah sepanjang 31 hasta
*
Lebar di paras bumi bermula dari penjuru sebelah Yaman hingga ke Hajarulaswad adalah seluas 20 hasta
Baginda membina pintu rapat ke bumi dan tidak ditinggikan atau dibuat pintu secara sempurna sehinggalah Tubba' Al-Humairi telah membina sebuah pintu dan meninggikannya. Bentuk binaan Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s adalah satu binaan sempurna yang mempunyai dua penjuru iaitu dua penjuru Yamani manakala bentuk Hijir pula, beliau tidak membinanya dalam bentuk berpenjuru bahkan dalam bentuk separuh bulat sebagaimana bentuk Hijir yang terdapat pada masa sekarang ini. Ada pendapat yang mengatakan umur Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah tersebut ialah 100 tahun, hanya Allah s.w.t. sahaja Yang Amat Mengetahui.

No comments: